Sunday 2 September 2012

Artikel 2


1.0 PENGENALAN

Profesion perguruan merupakan suatu pekerjaan yang penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Ia merupakan perantara yang paling utama dalam proses penyerapan ilmu pengetahuan kepada individu dan masyarakat. Dalam era globalisasi kini, dapat kita lihat peranan guru semakin mencabar dan menjadi kompleks. Kecemerlangan seorang guru tidak terbatas pada kebolehannya melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan baik, tetapi turut bergantung pada kualiti peribadinya yang tinggi kerana guru diharapkan untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada pelajarnya kerana inilah yang akan menjadi pemangkin kecemerlangan sesebuah sekolah. Kualiti diri yang dimaksudkan di sini ialah sahsiah, tingkah laku, keterampilan diri, berkewibaan dan sebagainya.

      Guru juga perlu mempunyai ciri-ciri interpersonal yang baik. Ciri-ciri interpersonal tersebut merangkumi kemahiran berhubung, berkomunikasi, menangani masalah, menyesuaikan diri dan sebagainya. Guru seharusnya mengelakkan komunikasi sehala sehinggakan murid berasa bosan terhadap pengajarannya. Guru juga tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sehingga hanya mengutamakan pendapatnya sahaja tanpa mengambil kira pendapat pelajar-pelajarnya. Seorang guru yang baik akan cuba mewujudkan komunikasi dua hala dengan pelajarnya sama ada meminta pendapat atau bertanyakan soalan kepada mereka.

Ciri profesionalisme keguruan merangkumi kemahiran mengajar, kecekapan dan kewibaan guru, pengetahuan dan kepimpinannya sendiri. Di samping itu juga, guru juga perlu mempunyai ciri intelektual. Ciri ini penting bagi memastikan guru dapat menyampaikan pengetahuan yang bermakna kepada pelajar-pelajarnya. Bagi mewujudkan ciri seperti ini dalam diri seorang guru, guru seharusnya perlu menambahkan ilmu pengetahuan dengan cara menambahkan pembacaan bahan berilmiah. Dengan adanya kesemua aspek ini dalam diri guru, maka secara tidak langsung guru akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam profesionalisme keguruan ini (Noran Fauziah & Mahdzan, 1992). 

  
2.0 ULASAN BERKAITAN ARTIKEL

Menerusi artikel ‘Patut Atau Tidak Pelajar Sekolah Dirotan?’ yang dipetik dari laman web rasmi Utusan Malaysia, dapat disimpulkan bahawa dewasa ini isu merotan pelajar sering mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan hangat dalam kelompok masyarakat khususnya guru. Selain itu, ia turut mendapat liputan meluas dalam akhbar dan juga media massa. Terdapat segelintir pihak yang menyokong dan ada juga yang menentang atas pelbagai sebab yang munasabah. Pelaksanaan hukuman rotan ini tidak seharusnya dipandang negatif kerana ia pastinya mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Sekiranya pelaksanaan hukuman rotan ini dilihat dapat mengekang masalah salah laku pelajar di sekolah, maka ia merupakan satu usaha yang murni dan sepatutnya dipandang tinggi oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman rotan itu sendiri perlulah kena pada tempatnya. Guru tidak boleh menyalahgunakan kuasa merotan yang diberi kepada mereka. Hukuman rotan yang dilaksanakan ini perlulah berdasarkan sebab atau alasan yang munasabah serta dianggap relevan. Syarat-syarat semasa melaksanakan hukuman ini juga perlu dipatuhi. Misalnya, guru hanya boleh memukul murid di tempat yang tidak akan mendatangkan kemudaratan serta melaksanakan hukuman rotan di tempat yang tertutup serta memaklumkan ibu bapa tentang hukuman rotan tersebut.

Perkara yang mendatangkan masalah apabila hukuman rotan ini dilaksanakn ialah apabila guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana dikhuatiri sekiranya terdapat kecederaan yang serius pada pelajar ia akan menyebabkan ibu bapa membuat aduan polis dan mendakwa guru terbabit. Oleh itu, walaupun niat guru merotan pelajar hanyalah untuk mendidik pelajar, tetapi ia boleh mendatangkan akibat buruk sekiranya dilakukan secara berlebihan. Kesimpulannya, semua pihak harus mengkaji isu ini secara lebih mendalam lagi supaya apa jua keputusan yang diambil lebih banyak mendatangkan kebaikan berbanding keburukan.


3.0 ANALISIS ISU

Masalah disiplin pelajar menjadi isu hangat yang diperkatakan pada masa kini. Masyarakat melahirkan rasa bimbang tentang kemungkinan masalah ini akan menjadi bertambah serius sekiranya tiada tindakan tegas diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi membendungnya. Antara masalah tersebut termasuklah ponteng sekolah, mencuri, bergaduh, membuli, melawan guru, memukul guru dan bermacam-macam lagi. Pelbagai cadangan telah dikemukakan sebagai langkah untuk menangani permasalahan ini. Ada yang berpendapat bahawa hukuman rotan wajar diperkenalkan semula setelah dihentikan pada tahun 2006 yang lalu atas alasan dianggap tidak berkesan untuk memperbaiki disiplin pelajar. Walau bagaimanapun, pelaksanaan hukuman rotan ini mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri.


3.1 Kekuatan Isu

Sesetengah pihak menyokong pelaksanaan hukuman rotan ini memandangkan guru memainkan peranan yang begitu besar dalam membantu menangani masalah salah laku pelajar. Salah laku ialah segala perbuatan yang membawa kerosakan kepada diri sendiri, orang lain mahupun alam sekitar (Ibrahim, 2007). Punca salah laku disiplin sekolah menunjukkan bahawa kekurangan kemahiran sosial, keyakinan diri yang rendah, pengaruh rakan sebaya perpecahan keluarga dan kelemahan pengurusan bilik darjah di samping sikap guru yang negatif (Laporan Salah Laku Disiplin Pelajar Sekolah Malaysia, 1988;KPM, 1995;Shanmugam, 1997;Mo, 2001) menyumbang kepada salah laku disiplin dalam kalangan pelajar (James, 2005). Ponteng sekolah merupakan salah satu jenis salah laku dalam kalangan pelajar yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib di sekolah. kerana ia merupakan salah laku yang sering dilakukan oleh pelajar (Md.Zuki, 2007).


Salah laku dalam kalangan pelajar pada masa kini kian berleluasa dan membarah. Dengan pelaksanaan hukuman rotan ini, maka secara tidak langsung salah laku dalam kalangan pelajar ini dapat dibendung sekaligus mengelakkan ia daripada terus menular dan merebak dalam sesebuah komuniti pelajar. Sekiranya masalah disiplin seperti ini tidak dibendung sejak dari awal lagi, perkara yang amat dibimbangi ialah pelajar akan menjadi semakin liar dan agresif serta tidak terkawal sehinggakan menimbulkan masalah yang lebih besar yang akhirnya akan menjerumuskan mereka ke kancah yang lebih teruk iaitu gejala sosial (James, 2011).

Gejala sosial merupakan gejala yang menyebabkan berlakunya ketidaktentuan sistem kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara serta meruntuhkan akhlak manusia.   Di Malaysia, terdapat banyak gejala sosial yang dapat kita kenal pasti. Antaranya termasuklah pembuangan bayi, seks bebas, meminum arak, merempit dan lain-lain. Gejala-gejala seperti ini bermula dengan kebiasaan pelajar di sekolah, yang terbabit dalam salah laku ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan lain-lain lagi. Dengan adanya hukuman rotan inilah guru dapat mendidik dan mencegah masalah salah laku pelajar ini (Khairul Anuar, 2010).

Selain itu, pelajar-pelajar juga akan berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang salah laku disiplin. Dahulu, hukuman rotan yang dijatuhkan kepada pelajar-pelajar menjadi satu perkara biasa dan mendapat sokongan daripada ibu bapa. Pelajar juga akan sedar dengan sendirinya akan kesalahan mereka dan tidak berani untuk mengadu kepada ibu bapa kerana bimbang akan dipukul dengan lebih teruk lagi dengan ibu bapa sendiri. Oleh yang demikian, sekiranya hukuman rotan ini dilaksanakan semula, ini bermakna semua guru dapat membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar-pelajarnya. Memang sakit apabila dirotan, namun kesakitan itulah yang akan membangkitkan semangat pelajar sehingga menjadikan mereka manusia yang berguna, memegang jawatan yang tinggi dan disegani oleh masyarakat suatu hari kelak.


3.2 Kelemahan Isu 

Terdapat sesetengah pihak yang menentang pelaksanaan hukuman rotan ini. Terdapat pihak yang mendakwa bahawa hukuman rotan ini tidak akan mampu mendisiplinkan pelajar. Bagi mereka, hukuman rotan ini hanya akan mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Contohnya, menerusi hukuman rotan pelajar akan berasa tertekan kerana berasa malu kepada rakan. Hal ini akan menyebabkan mereka menjadi pasif. Dari sudut yang lain, hubungan pelajar dengan guru juga akan menjadi kurang baik dan keruh.

Zulaiha (2001) dalam kajiannya mengatakan bahawa pendidikan yang berdasarkan hukuman hanya membantu seorang pelajar itu belajar tentang apa yang telah dilakukannya dan sama sekali tidak membantunya untuk belajar tentang apa yang seharusnya dia lakukan. Beliau juga mendapati bahawa aspek kemesraan guru membantu dalam pembentukan disiplin dalam kalangan pelajar dan pelajar akan lebih berminat dengan guru yang lebih memahami dan mengenali mereka. Pentingnya pencegahan salah laku sebelum penguatkuasaan peraturan khusunya hukuman seperti merotan yang dianggap kurang berkesan. Selain itu, pelajar juga akan berasa benci dan tidak suka untuk pergi ke sekolah. Atas sebab inilah yang akan menyebabkan mereka cuba untuk ponteng kelas dan ponteng sekolah. Ini juga akan mendorong mereka untuk mencari keseronokan serta hiburan di luar dengan bercampur dengan rakan-rakan yang tidak senonoh seterusnya terbabit dengan gejala-gejala yang tidak bermoral (James, 2005).

Sikap ibu bapa dan pelajar masa kini jauh berbeza dengan masa dahulu. Jika dahulu, ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah dan berpesan supaya guru merotan anaknya sekiranya melakukan kesalahan serta tidak mencederakan anaknya. Namun, berbeza pula halnya dengan keadaan pada hari ini, ibu bapa sendiri campur tangan dalam urusan guru. Ada juga antaranya yang sanggup menyaman guru dan mengheret guru ke mahkamah. Sikap ibu bapa seperti inilah yang akan menyebabkan pelajar-pelajar hanyut lebih jauh dengan kegiatan-kegiatan tidak bermoral mereka itu.


4.0 PANDANGAN PENULIS BERKENAAN ISU

Hari ini suasana di sekolah amat berbeza berbanding dahulu, hukuman rotan adalah perkara biasa. Misalnya, hukuman rotan yang dilaksanakan ketika perhimpunan akan menjadi pengalaman yang menginsafkan bagi pelajar. Hukuman yang dikenakan seperti ini dikatakan mampu memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar dan menggalakkan mereka untuk mengubah sikap atau tingkah laku mereka. Walau bagaimanapun, terdapat juga ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman rotan ini. Malah ada yang sanggup menyaman guru kerana menghukum anak mereka. Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sekiranya hukuman tersebut mampu untuk menyedarkan pelajar, mengapa mereka langsung tidak boleh disentuh oleh guru? (Lily & Ramlan, 2007).

Hukuman merotan pelajar sebenarnya merupakan salah satu langkah penyelesaian dalam menangani masalah salah laku pelajar di sekolah. Benarkah begitu atau masih terdapat alternatif-alternatif lain sebelum mengambil langkah terakhir iaitu merotan ini? Mencari alternatif lain  untuk menangani gejala disiplin di sekolah bukan bermakna kita harus memberhentikan penguatkuasaan tindakan-tindakan disiplin yang sedia ada berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas dan panduan tatacara disiplin yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Perkara yang disarankan ialah penggunaan pelbagai pendekatan untuk menangani masalah salah laku disiplin di sekolah ini (James, 2005).

Pada pandangan saya, hukuman rotan ini bukanlah sesuatu yang membawa keburukan semata-mata. Terdapat baiknya sekiranya guru menjalankan hukuman rotan ini sebagai salah satu cara untuk mendisiplinkan pelajar serta menangani masalah salah laku mereka. Adakalanya, pendekatan seperti ini sangatlah sesuai untuk dipraktikkan sekiranya tidak melangkaui batas-batas yang telah ditetapkan. Perlu dilihat terlebih dahulu apa sebabnya guru ingin merotan seseorang pelajar itu. Jika benar pelajar tersebut melakukan kesalahan, maka hukuman rotan yang dikenakan juga perlulah setimpal dengan kesalahan pelajar tersebut.

Guru tidak boleh bersikap pilih kasih dalam melaksanakan hukuman ini. Terdapat segelintir guru yang merotan seseorang pelajar kerana tidak menyukai pelajar tersebut. Sekiranya seseorang pelajar dikenakan hukuman rotan ini, perlu dilihat terlebih dahulu individu yang merotan dan di mana ia dilakukan. Jika ia dilakukan oleh pengetua atau guru disiplin dan di tempat yang tertutup, maka tiada sebarang masalah. Namun, sekiranya ia dilakukan oleh seorang guru biasa dan di khalayak ramai, amat dikhuatiri guru tersebut berdendam dengan pelajar tersebut.

Emosi guru adakalanya tidak stabil dan ini akan menjadikan guru tertekan. Guru sentiasa dibebani dengan beban kerja terlampau serta ditambah pula dengan masalah yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar. Ini akan menyebabkan guru mengambil langkah drastik dan mengambil tindakan sedemikian rupa disebabkan oleh tekanan yang dialami. Tekanan boleh menyerang manusia tanpa mengira peringkat umur dan jantina.. Seseorang individu akan sering menhadapi tekanan akibat keadaan sekeliling. Doktor Kesihatan Mental dan Psikologi, Dr.Mohd.Jusof Mohd Ismail berkata, pelbagai tekanan yang dihadapi akan menyebabkan hati seseorang individu menjadi runsing dan keadaan ini akan menyebabkan individu berkenaan tidak dapat memberi tumpuan kepada tugasan harian. Oleh itu, guru seharusnya perlu bijak mengawal tekanan dengan baik bagi mengelakkan guru bertindak secara melulu serta bertindak mengikut emosi. Guru juga perlu mempraktikkan  amalan-amalan yang dapat membantunya bagi meredakan tekanan (Nurul Nadia, 2011).

Ancaman hukuman merupakan salah satu langkah yang telah dipilih untuk mengurangkan salah laku. Namun, ternyata sesetengah pihak tidak mengambil peduli tentang ancaman dan hukuman dan dengan beraninya mengambil risiko membuat salah laku. Terdapat juga pihak yang berusaha mengetatkan pengawasan dan kawalan. Tetapi masih ada manusia yang menunggu waktu yang sesuai untuk mengambil peluang melaksanakan salah laku. Justeru itu, langkah yang terbaik untuk mengurangkan salah laku ialah dengan membaiki bahagian dalaman seseorang individu iaitu mindanya, yang merangkumi perasaan dan jiwanya (Ibrahim, 2007).

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa guru perlu mencuba pendekatan yang lain terlebih dahulu  sebelum melaksanakan hukuman rotan ini. Guru boleh mencuba untuk mempraktikkan amalam kepimpinan secara demokratik. Kepimpinan secara demokratik mengajar guru untuk cuba mendengar dan memahami perasaan pelajar itu sendiri. Dalam apa jua hal, guru akan memberikan teguran kepada murid dengan cara yang objektif atau nyata. Kesan kepimpinan secara demokratik adalah positif memandangkan suasana sosioemosi yang demokratik akan terbentuk dan ini mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar. Perhubungan yang erat akan membantu guru untuk lebih mengenali pelajar-pelajarnya. Ini akan                           membolehkan guru mengetahui latar belakang serta mencungkil masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut sekaligus mencari jalan penyelesaian bagi masalah mereka (Abdul Ghani, 2009).

Guru juga perlu mempraktikkan amalan seperti memuji pelajar sebelum member teguran kepada mereka. Contohnya, apabila guru cuba untuk memperbetulkan kesalahan pelajar, mulakan dengan kata-kata sanjungan terlebih dahulu dan bermanis muka. Dengan ini, pelajar akan berasa senang hati untuk mendengar nasihat daripada guru. Amalan memberi pujian ini boleh menaikkan semangat para pelajar bagi mereka mengelakkan diri dari melanggar peraturan-peraturan sekolah. Apabila pelajar mendengar pujian ikhlas daripada guru, maka mereka akan berasa senang hati. Jika pelajar sudah berubah walaupun sedikit, guru perlu terus memotivasikan pelajar supaya melakukan perubahan yang lebih besar ( Mohd Rashid, 2007).

Guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi apabila mengatakan tidak kepada sesuatu perbuatan negatif. Sebagai guru, keselamatan dan kesihatan pelajar pelu dipastikan selalu. Guru juga perlu membantu pelajar supaya mereka sentiasa menjadi insan yang berakhlak dan terpuji. Apabila guru membuat keputusan untuk membentuk peribadi mulia dalam diri pelajar, guru perlu tegas dan yakin dalam apa sahaj perbuatan yang dilakukannya seperti memberi nasihat, amaran ataupun denda. Guru sebaik-baiknya perlu memberi sebab dan alasan mengapa ingin menghalang seseorang pelajar daripada melakukan kesalahan.
  
Seorang guru itu juga perlulah menjadi guru yang bestari bagi membolehkan mereka bertindak sebagai agen perubahan bagi pelajar-pelajar secara berkesan.   Guru yang bestari ialah seorang guru yang bijak, berilmu pengetahuan, berkemahiran tinggi, penyayang, berketerampilan serta mampu menjadi contoh teladan yang baik untuk dicontohi oleh pelajar-pelajarnya. Selain daripada itu, guru bestari juga perlu memiliki sahsiah yang baik, serta mempunyai daya kreativiti dan inovasi yang hebat. Guru bestari berperanan mendidik pelajarnya dalam setiap aspek kehidupan iaitu akademik, sahsiah diri, rohani, jasmani, emosi dan intelek (Haji Zainal, 2008).

Guru yang tidak memiliki ciri-ciri bestari akan meninggalkan impak yang negatif kepada pelajar-pelajarnya. Pelajar pasti akan berasa tidak seronok dan gembira sepanjang proses P&P guru. Guru-guru dalam kategori tidak bestari ini lazimnya bersifat garang serta tidak mesra. Mereka juga tidak gemar bergurau dan tidak murah dengan senyuman juga pujian. Sikap guru seperti ini akan menyebabkan pelajar semakin jauh dari mereka dan hubungan juga menjadi dingin dan renggang. Ini menyukarkan guru untuk mengenali pelajar bagi mengenal pasti masalah yang telah dihadapi oleh pelajar tersebut. Hal ini akan menyebabkan pelajar menjadi benci kepada guru dan lambat laun akan membawa kepada perasaan anti sekolah dan akhirnya akan terjadilah masalah-masalah seperti ponteng sekolah yang akan menjerumuskan pelajar ke dalam kancah gejala tidak bermoral ( Haji Zainal, 2008).

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Wan Azreena Wan Jaafar berkata bahawa hukuman rotan merupakan tindakan terakhir yang boleh diambil sekiranya langkah-langkah sebelumnya tidak berkesan. Sekiranya pendekatan yang digunakan seperti yang dibincangkan sebelum ini tidak berjaya, maka guru disarankan untuk menggunakan hukuman rotan ini. Hukuman yang dilaksanakan itu pula perlulah setimpal dan relevan dengan kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.

Mengekang tingkah laku negatif tidak bermakna guru melakukan kekejaman ke atas pelajar sekiranya guru bertindak adil dalam setiap hukuman yang dikenakan ke atas pelajar. Apabila hukuman dikenakan kepada pelajar, pelajar pastinya akan berasa sedih. Tetapi ini tidak bermakna bahawa guru perlu berasa bersalah atas tindakan yang diambil. Jika guru berasa bersalah, ini tidak akan membantu pelajar untuk membentuk disiplin yang tinggi dalam diri sebaliknya  akan membuatkan mereka lebih cenderung untuk melakukan perkara-perkara negatif kerana mereka berfikiran bahawa guru tidak akan marah serta bertegas dengan mereka.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa guru pastinya akan berasa simpati kepada pelajar, namun walau apa jua alasannya, guru harus bertindak tegas. Guru boleh cuba menerangkan kepada pelajar dengan cara paling lembut serta berhemah tentang sebab guru menjatuhkan hukuman seperti itu ke atas mereka. Sekiranya guru tidak mengekang masalah salah laku disiplin , pelajar pastinya akan bersikap kurang ajar dengan guru dan tidak menghormati guru lagi. Keruntuhan moral serta akhlak mereka juga akan semakin menjadi-jadi dan fenomena ini juga akan semakin menular dalam kalangan masyarakat serta berleluasa. Inilah cara terbaik yang boleh dipraktikkan oleh guru andai kata nasihat dan bimbingan yang diamalkan tidak mendatangkan kesan seperti yang diharapkan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Fuad Zarkashi berkata, pengenalan semula hukuman rotan yang telah dihentikan pada tahun 2006 itu wajar diperkenalkan semula berdasarkan keperluan semasa memandangkan masalah disiplin dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa hukuman rotan ini boleh dilaksanakan sebagai tindakan yang akhir sekali selepas pendekatan yang digunakan oleh guru dan usaha kaunselor menemui kegagalan. Walau bagaimanapun, hukuman rotan tersebeut perlulah dilaksanakan mengikut panduan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

            Pertamanya, hanya pengetua atau guru besar dan guru disiplin sahaja yang boleh melaksanakan hukuman rotan tersebut. Tetapi, guru biasa juga boleh menjalankan hukuman ini sekiranya diberi kuasa untuk mewakilkan pihak yang sepatutnya. Selain itu, hukuman juga perlu dijalankan di tempat yang tertutup seperti bilik dan disaksikan oleh seorang guru lain. Kawasan yang boleh dirotan pula haruslah kawasan yang tidak akan mendatangkan kemudaratan, iaitu di telapak tangan dan juga di bahagian punggung secara berlapik. Setelah hukuman rotan dilaksanakan, guru perlu menyediakan satu rekod secara sulit. Rekod tersebut perlu mengandungi jenis salah laku pelajar, bilangan sebatan, bahagian anggota yang dirotan, nama dan tandatangan guru yang merotan serta yang menjadi saksi ketika hukuman tersebut dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, saya sebenarnya tidak menentang hasrat untuk memperkenalkan hukuman rotan semula di sekolah-sekolah. Hal ini kerana, bagi saya ia mempunyai pro dan kontranya yang tersendiri. Namun, bagi saya ia lebih banyak mendatangkan manfaat berbanding keburukan. Hukuman rotan ini dipercayai dapat mendisiplinkan pelajar serta mengawal tingkah laku mereka. Namun, guru harus cuba untuk menggunakan cara yang paling halus terlebih dahulu bagi membentuk serta mengubah tingkah laku pelajar dan sekiranya tidak berjaya, barulah beralih kepada tindakan yang lebih tegas dan keras seperti hukuman rotan.


5.0 KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan serta ulasan di atas, dapat disimpulkan bahawa tidak ada salahnya sekiranya hukuman rotan ini diperkenalkan semula di sekolah-sekolah selepas dihentikan pada tahun 2006 yang lalu. Hal ini kerana, memandangkan ia bertujuan untuk mendisiplinkan pelajar dan bukannya untuk mendera dan menyusahkan mereka. Kita tidak mahu pelajar-pelajar terus hanyut dalam dunia fantasi mereka yang dianggap indah sentiasa. Ini akan mengakibatkan kesan yang buruk terhadap diri mereka. Contohnya, mereka akan terdorong untuk melibatkan diri dengan gejala-gejala yang tidak bermoral seperti pergaulan bebas, seks bebas, pembuangan bayi dan lain-lain lagi.

“….saya mahu setiap rakyat Malaysia mempunyai modal insan personaliti yang tinggi hemahnya., tinggi budinya, tinggi pengajiannya, tinggi kejayaannya dalam apa jua bidang yang diceburi, hatta menjadi seorang yang gemilang. Ini kerana, anak kunci kecemerlangan ialah disiplin dan jati diri seseorang individu. Ini akan mendorong kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat dan negara”.
                                                                      Sumber: Ucapan Mantan Perdana Menteri,       
                                            Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,Utusan Malaysia, 2005)

            Begitulah tingginya hasrat dan harapan mantan Perdana Menteri kita ini. Namun, hasrat mantan Perdana Menteri ini amat bertentangan dengan senario masyarakat pada masa kini. Betapa remaja kini berada dalam situasi serta bergelumang dengan gejala-gejala negatif yang membawa kepada keruntuhan akhlak yang boleh melemahkan  serta menjatuhkan bangsa dan negara. Semua ini berpunca daripada kelemahan sistem penguatkuasaan disiplin pelajar di sekolah yang membuatkan pelajar semakin berjinak-jinak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Oleh yang demikian, sudah sampai masanya guru, pentadbir sekolah serta ibu bapa sama-sama mengembleng tenaga bagi menangani permasalahan yang kian membarah ini.


REFLEKSI

Tugasan projek bagi mata pelajaran Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesionalisme Guru memerlukan kami untuk memilih mengulas satu artikel yang dipilih daripada mana-mana laman web rasmi yang berkaitan isu guru atau keguruan dan seterusnya kami diminta untuk membina satu blog dan memaut hasil penulisan kami itu ke blog yang telah dibina. Artikel yang saya pilih ini adalah berkaitan dengan isu hukuman rotan yang ingin diperkenalkan semula di sekolah. Saya memilih isu ini kerana kerana pelaksanaan hukuman rotan ini merupakan salah satu daripada isu kemasyarakatan dan seringkali mendapat perhatian orang ramai serta mendapat pendedahan meluas di media-media massa. Blog yang dibina oleh saya bersama rakan iaitu Dunia Pendidikan Guru, yang boleh didapati menerusi laman sesawang www.ceriteraguruipg.blogspot.com, mengupas sedikit sebanyak berkenaan dengan isu-isu keguruan yang kian hangat dibincangkan. Dalam kelancaran menyelesaikan tugasan projek ini, terdapat beberapa masalah yang dihadapi. Misalnya, kesukaran untuk mencari bahan rujukan daripada pelbagai sumber berkenaan dengan isu yang dipilih. Buku-buku di Pusat Sumber agak terhad, namun saya tidak putus asa. Saya turut mencari menerusi sumber-sumber yang lain seperti akhbar, jurnal dan juga internet. Alhamdulillah, hasilnya agak memuaskan. Terdapat banyak perkara yang telah dapat saya pelajari sepanjang menyiapkan tugasan ini. Pertamanya, saya mengetahui bagaimana seorang guru itu harus berperanan di bilik darjah supaya pelajar-pelajar tidak berasa bosan dan tertekan sepanjang proses P&P. Guru juga seharusnya membina hubungan yang erat dan mesra dengan pelajar-pelajarnya supaya pelajar sentiasa senang dan selesa di samping turut menyanjungi gurunya. Hubungan yang positif antara guru dan pelajar akan mengelakkan daripada tercetusnya masalah salah laku disiplin dalam kalangan pelajar. Selain itu, guru juga perlu tahu cara bagi membendung masalah disiplin yang semakin berleluasa di sekolah dengan cara yang peling berhemah terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan terakhir iaitu merotan pelajar. Dengan ilmu baru yang saya peroleh ini, secara tidak langsung dapatlah saya praktikkan serta mengaplikasikannya apabila mula bertugas sebagai seorang guru kelak. Menerusi tugasan yang dijalankan ini, saya juga berpeluang mempelajari kaedah-kaedah atau pendekatan yang boleh guru gunakan bagi mengatasi salah laku dalam kalangan pelajar. Ini secara tidak langsung dapat melatih saya berfikir secara kritis dan lebih kreatif. Ia juga dapat meningkatkan kefahaman saya berkenaan isu-isu yang merangkumi ruang lingkup kerjaya seorang guru. Selain itu, terdapat perkara-perkara lain juga yang telah dapat saya pelajari yang berkaitan dengan kehidupan seharian saya. Misalnya, sebagai seorang pelajar kita perlu bijak membahagikan masa. Contohnya, walau sesibuk mana pun kita, seharusnya sebagai seorang pelajar kita tidak seharusnya lupa dengan amanah yang diberikan oleh pensyarah untuk kita menyiapkan tugasan masing-masing. Kekangan masa bukanlah alasan untuk kita tidak menyiapkan tugasan sebaliknya kita sendiri harus bijak mencari masa bagi membolehkan tugasan itu diselesaikan tepat pada masanya. Bukan sahaja semasa kita bergelar seorang pelajar, malahan juga apabila kita telah bekerja dan menjadi seorang guru kelak, kita seharusnya bijak menguruskan masa supaya tidak terbeban dengan tugasan yang begitu banyak dan menjadi tertekan. Selain itu, kita juga dinasihatkan supaya bersabar dengan apa jua dugaan atau cabaran yang menghampiri kita. Kerana semua itu akhirnya akan membuahkan hasil kepada diri sendiri secara tidak langsung. Kita perlu sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan melakukan penambahbaikan supaya sebarang kejayaan yang diperoleh itu sentiasa berkekalan dan tidak hilang begitu sahaja serta bagi memastikan kita tidak akan jatuh. Apabila bergelar seorang guru kelak, guru tidak boleh cepat berpuas hati dengan segala tugas atau kerja yang dilakukan. Guru perlu mempunyai sikap ingin mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa ingin meningkatkan mutu serta kualiti kerja serta sentiasa menambahkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan semasa. Di samping itu, saya telah mempelajari nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian kerana ini secara tidak langsung akan menjadi garis panduan dalam hidup kita seharian. Contohnya, dalam menyiapkan tugasan projek ini saya sendiri telah banyak bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain serta tolong-menolong antara satu sama lain dalam urusan berkongsi idea serta pendapat tentang isu yang dibincangkan. Maka, secara tidak langsung nilai-nilai murni telah berjaya diterapkan di situ tanpa disedari. Secara keseluruhannya, perkara-perkara yang telah saya pelajari ini akan menjadi pengalaman yang bermakna dan dapat membantu saya mempersiapkan diri dengan apa juga cabaran dan rintangan pada masa akan datang, dalam menempuhi arus profesionalisme keguruan.


Bibliografi

(a)  Buku

Abdul Ghani Abdullah.(2009). Mengurus Tingkah Laku Pelajar. Kuala Lumpur:                                                
      Percetakan Zafar Sdn.Bhd.

James Ang Jit Eng.(2011). Pengurusan Disiplin Murid. Selangor:
       C.T Book Makers Sdn.Bhd.

Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah.(2007). Asas Kaunseling Keluarga. Shah Alam:
       Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Mohd Rashid Mohd Saad.(2007). Mengapa Rotan Tidak Berkesan?. Kuala Lumpur:
       PTS PROFESSIONAL Publishing Sdn.Bhd.

Mo Mee Ching (2001). Masalah Disiplin Pelajar. Bangi:
      Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noran Fauziah Yaakub & Ahmad Mahdzan Ayob.(1992). Guru dan Perguruan.
       Kuala Lumpur: Syarikat Is Sdn.Bhd.

Shanmugam a/l Pachaippan. (1997). Punca-punca masalah disiplin di sekolah. Bangi:
        Universiti Kebangsaan Malaysia.

Haji Zainal Haji Bujang.(2008). Guru Bestari Pelajar Jauhari. Kuala Lumpur:
        Al-Hidayah Publications Sdn.Bhd.


(b)  Jurnal
Haji Ibrahim.(2007). Jurnal Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan.
     Salah Laku Pelajar-Perspektif Islam dan Sosiologi, : 42-45.

James Ang Jit Eng.(2005). Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan. Pengurusan Disiplin
        Sekolah: Pendekatan Alternatif Menangani Gejala Disiplin Di Sekolah, 15 (1) :1-9.

Md. Zuki Hashim.(2007). Jurnal Penyelidikan IPSAH. Kajian Kes Gejala Ponteng,
       11 : 101-103.


(c)  Artikel dalam Akhbar

Khairul Anuar. (2010, Julai 4). Masalah Sosial Generasi Muda Petanda Krisis Moral
      Cukup Berbahaya. Berita Harian, pp. 7-8, 15.

Nurul Nadia Mohd Kamaruzaman. (2011, Jun 26). Tekanan Antara Punca                          
        Masalah Kesihatan. Berita Harian, pp. 1-2.


(d)  Laman Web

Adi Mohamad.(2007). Hukuman Rotan Wajarkah Dilaksanakan?.
       www.pkgkita.blogspot.com. Accessed on 3st August 2012.

Haji Ayub Mohamed.(2011). Isu Ponteng Sekolah Dalam Kalangan Pelajar.
      www.mapimkebangsaan.blogspot.com. Accessed on 1st August 2012.

Lokman Mohd Hashim.(2009). Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja.
       www.mutiaraislam.wordpress.com. Accessed on 14th July 2012.

Mazlan.(2009). Gejala Sosial Dalam Kalangan Remaja Hari Ini.
       www.mazlan66.wordpress.com. Accessed on 28th July 2012.

Norliza Abdullah.(2011). Laksana Semula Hukuman Rotan Di Sekolah.
      www.detikdaily.com. Accessed on 15th August 2012.

Nurul Syuhadah Ahmad.(2011). Hukuman Rotan, Pro dan Kontra.
      www.smkbt.com.my. Accessed on 17th August 2012.

Suliati Asri.(2009). Isu Hukuman Rotan Di Sekolah.
      www.hmetro.com. Accessed on 17th August 2012.

Yayasan Guru Malaysia Berhad.(2012). Patut Atau Tidak Pelajar Sekolah Dirotan.
       www.utusan.com.my. Accessed on 1th July 2012.

No comments:

Post a Comment