Sunday 2 September 2012

ARTIKEL 1



"Meningkatkan Penguasaan ICT Guru" 

oleh : Nur Syafarina bt Rusli
8 PISMP KS/PJ/PM 2 


1.0  Pengenalan
Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21 dan perubahan daripada era masyarakat industri (industrial society) kepada era masyarakat bermaklumat (information society) menimbulkan cabaran baru kepada institusi pendidikan yang diterajui oleh golongan pendidik dan guru. Profesion perguruan merupakan satu profesion yang mulia dan tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak. Hal ini kerana tanggungjawab serta tugas yang telah diamanahkan kepada para pendidik ini perlulah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan berdedikasi agar mereka dapat melahirkan modal insan yang bertaraf dunia seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kecanggihan dan kemodenisasi yang berlaku di Negara ini telah menjadi salah satu cabaran buat para pendidik dalam merealisasikan hasrat kerajaaan. Hal ini kerana ledakan globalisasi yang berlaku di Negara telah menyebabkan kurikulum pendidikan di Negara ini juga bertransformasi ke arah yang lebih baik. Salah satu transformasi yang paling mencabar kepada para pendidik adalah pengaplikasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi(TMK) atau dikenali Information and Communication Technology(ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran(p&p) mereka. Terdapat pelbagai impak positif yang boleh diterima oleh guru dan khususnya murid apabila kemahiran TMK ini dilaksanakan sepanjang pembelajaran mereka.

Transformasi ini dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan dan pengajaran guru agar dapat menghadapai cabaran yang mendatang dengan baik serta proaktif. Kaedah p&p guru perlu divariasikan mengikut kesesuaian dan dunia sekeliling yang menuntut pengaplikasian teknologi senagai media pengajaran mereka. Hal ini bagi memastikan guru-guru dapat menerapkan kepada murid kepentingan pengaplikasian multimedia dalam kehidupan seharian mereka.

Ab. Rahim Selamat (1992) menyatakan bahawa kelemahan-kelemahan yang wujud dalam mengaplikasikan TMK ini adalah akibat daripada kekurangan kemahiran dalam pengendalian dan pengurusannya. Naim Hj. Ahmad (2000) pula telah menghuraikan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan sebagai masalah-masalah yang timbul dan perlu dihadapi kesan daripada penggunaan komputer dalam pendidikan. Seharusnya perubahan ini menjadi satu cabaran buat guru dalam meningkatkan kualiti profesion mereka dan bukan dianggap sebagai ancaman yang hanya akan membebankan tugasan mereka dalam mendidik anak bangsa.

Seperti yang diketahui, pendidik ini bertanggungjawab memainkan peranan mereka secara dominan dalam memastikan keberkesanan aspek penyampaian ilmu antara guru dan murid. Tambahan pula, dunia globalisasi kini yang sarat dengan kemodenan serta kecanggihan ICT menuntut semua pendidik di Negara ini untuk bersama-sama mengharungi perubahan struktur pendidikan selari dengan hasrat kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020. Oleh yang demikian, mereka ini perlu mendepani satu cabaran yang cukup besar dan mencabar dalam memastikan mereka telah mencapai  standard yang dikehendaki oleh Negara seperti menjadi seorang guru yang celik akal dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi(TMK). Pendidikan yang berorientasikan teknologi merupakan satu cabaran hebat buat pendidik. Terdapat beberapa isu yang akan dikupas seterusnya bagi melihat secara terperinci bagaimana globalisasi pendidikan menjadi satu cabaran hebat buat semua guru dalam profesion keguruan.


2.0  Analisis artikel ‘Meningkatkan Penguasaan ICT Guru’

Tajuk artikel yang telah dipilih oleh saya ialah ‘Meningkatkan Penguasaan ICT Guru’ yang ditulis oleh Mohd Fadzly Mohd Izab pada 3 Januari 2011 dan diambil dari laman web bernama online iaitu www.utusan.com.my. Secara keseluruhannya, artikel ini membincangkan akan kepentingan serta cabaran unsur multimedia dan ICT untuk diaplikasikan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah. Artikel ini amat sinonim dengan dunia perguruan kini apabila profesion perguruan dalam usaha memantapkan lagi profesionalisme mereka. Tambahan lagi, Negara kini sedang giat menjalankan pelbagai dasar dan usaha bagi merealisasikan hasrat kerajaan dalam mencapai status Negara maju dan moden pada tahun 2020. Wawasan 2020 merupakan satu dasar yang dijadikan target oleh Negara dalam mencapai status Negara maju. Oleh yang demikian masyarakat Negara ini termasuklah pendidik berperanan dalam membantu Negara merealisasikan hasrat ini.

Alaf baru 21 ini menuntut semua guru memvariasikan kaedah pembelajaran mereka dengan mengaplikasikan teknologi serba moden seperti yang dinyatakan di dalam artikel ini. Artikel ini menceritakan kepentingan teknologi sebagai medium pengajaran disebabkan pelbagai manfaat yang boleh diperolehi dan dikongsi antara guru dan murid. Terdapat pelbagai alat bantu mengajar yang boleh digunakan oleh pendidik dalam menyampaikan pengajarannya akan tetapi pengintegrasian dan pengaplikasian ICT kini perlu dipandang serius memandangkan Negara kini berhadapan dengan dunia globalisasi yang menuntut masyarakatnya mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang tinggi dalam bidang ICT. Transformasi pendidikan ini diperhebatkan lagi dengan kolaborasi pendidik bersama Intel Electronics(M) Sdn.Bhd dalam bidang ICT bagi memberi penekanan kepada pendidik akan kepentingan ICT ini. Mereka telah memperkenalkan satu program iaitu Intel Teach Program(ITP) yang bertujuan melatih dan meningkatkan lagi kemahiran dan penguasaan guru dalam mengaplikasikan ICT sepanjang pengajaran mereka. Organisasi ataupun institusi yang dijadikan sasaran untuk menjadi kolaborasi syarikat Intel ini adalah institut pendidikan guru(IPG), English Language Training Centre(eltc) dan beberapa sekolah terpilih.

Kekuatan artikel ini menunjukkan bahawa koordinasi hubungan antara pihak kerajaan dengan agensi swata yang lain melaksanakan satu kolaborasi bagi memperkukuhkan ilmu dan kemahiran ICT dalam kalangan guru. Hal ini menunjukkan sasaran yang dipilih oleh mereka adalah pendidik yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu serta kemahiran ICT ini kepada murid di sekolah kelak. Ianya juga dijadikan satu pengalaman buat guru-guru dan langkah persediaan kepada mereka untuk mensesuaikan diri dengan transformasi pendidikan yang telah dilaksanakan oleh Negara. Program INTEL ini juga merupakan salah satu medium yang mampu membantu Negara mentransformasikan landskap pendidikan Negara kerana  program ini mementingkan kemahiran daya saing modal insan tempatan di peringkat global.

Sasaran dalam melaksanakan program INTEL ini juga banyak dipilih dalam kalangan guru pelatih di IPG kerana mereka merasakan bahawa persediaan dan kemahiran yang diterapkan kepada bakal-bakal guru ini dapat diserapkan dan digunakan oleh mereka di sekolah mereka ditempatkan kelak. Hal ini juga bagi memastikan Negara dapat melahirkan para graduan pendidik yang sentiasa relevan dengan perkembangan dunia pendidikannya. Apabila guru pelatih ini telah mensesuaikan diri dengan integrasi ICT dalam p&p mereka, ianya akan memudahkan mereka untuk menggunakan ICT sewaktu sesi praktikum mahupun situasi yang sebenar. Antara kebaikan yang dapat dilihat melalui program INTEL ini juga ianya dapat melatih kemahiran guru pelatih dalam menggunakan peralatan ICT seperti LCD, dan projector. Kemahiran ini akan memudahkan mereka untuk memasang dan menggunakannya dalam p&p mereka tanpa perlu meminta bantuan orang lain yang mungkin akan memakan masa dan mengganggu perjalanan p&p pada hari tersebut.

Di lihat juga program INTEL ini bukan sahaja memberi kemahiran dan pengetahuan kepada guru berkaitan ICT malahan pemberatan kepada aspek sahsiah juga dapat diterapkan. Sehubungan dengan itu, dilihat bahawa program ini amat bersesuaian dengan guru yang seharusnya mengikuti perkembangan semasa dunia agar murid yang dihasilkan tidak ketinggalan zaman. Pelbagai langkah proaktif yang boleh diambil oleh semua pendidik dalam memastikan semua kemahiran dan pengetahuan ICT mereka dapat ditingkatkan. Kualiti profesion perguruan juga akan terus meningkat jika perkara ini dipandang serius oleh semua pendidik di Negara ini. Cabaran globalisasi bukan lagi satu ancaman malahan dijadikan cabaran kepada guru untuk memperlihatkan keupayaan mereka melahirkan insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada abad ke 21.

Kesimpulannya, program intel ini hanya merupakan salah satu program dan usaha kerajaan berkolaborasi bersama organisasi lain dalam menunjukkan komitmen serta keprihatinan  mereka terhadap kualiti profesion perguruan. Terdapat pelbagai lagi program yang telah dirancang dan dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memastikan tahap penguasaan ICT dalam kalangan guru meningkat seperti yang dinyatakan dalam artikel iaitu usahasama bersama INTEL lagi bernama Project Based Approaches Courses. Adakah guru ini bersedia mengintegrasikan pengajaran mereka dengan pengaplikasian ICT sepanjang p&p mereka di dalam kelas? Mampukah guru menangani pelbagai cabaran ICT dalam menghadapi Generasi Net kini? Persoalan ini akan dikupas di bahagian seterusnya untuk melihat bagaimana guru di Negara ini meningkatkan penguasaan ICT mereka dan apakah halangan serta cabaran yang harus dilalui oleh mereka sebelum berjaya mengaplikasikan transformasi ini seterusnya membantu Negara melahirkan insan modal bertaraf dunia pada tahun 2020.



3.0  Isu dan cabaran guru berdasarkan artikel meningkatkan penguasaan ICT Guru
Hjetland (1995) menyatakan bahawa “Technology can make our lives easier.Everyday tasks are simplified”. Seharusnya kecanggihan dan kemodenan kini lebih memudahkan guru dalam melaksanakan p&p mereka dalam bilik darjah akan tetapi terdapat beberapa cabaran yang perlu dilalui oleh guru dalam mengaplikasikan ICT ini. Terdapat beberapa kekangan mahupun halangan dalam guru mengaplikasikan ICT ini dalam p&p mereka seperti halangan pihak pentadbiran sekolah, kekurangan latihan kepada guru, kurang kemudahan internet di sekolah, dan kurangnya perancangan guru sebelum proses p&p.

3.1 Kurangnya Kemudahan ICT
Prasarana dan kemudahan ICT seperti komputer dan internet merupakan satu cabaran buat guru jika sekolah mereka tidak mempunyai kemudahan ini. Penyediaan dan penyelenggaraan komputer juga menjadi punca masalah penintegrasian ICT ini. Menurut Cheah Chee Keong (2010),menyatakan bahawa pemberatan penggunaan makmal komputer sekolah hanyalah di kalangan guru-guru PPSMI. Hal ini disebabkan oleh pemberatan kepada subjek ini apabila dilaksanakan dalam bahasa Inggeris apabila bahan-bahan serta modul pembelajarannya berbentuk multimedia. Adul Rahman (2000) menyatakan bahawa kekurangan prasarana inilah yang menimbulkan masalah kepda penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Apabila timbulnya masalah sebegini ianya boleh melemahkan semangat guru – guru dan murid – murid untuk terus belajar dan kekalkan perhatian mereka.

Sebagai sebahagian daripada proses pembestarian dan usaha menyelesaikan isu kekurangan kemudahan komputer, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melengkapkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berupa maklumat komputer kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Bagi menjayakan usaha itu, sejumlah peruntukan telah dikeluarkan untuk membolehkan setiap sekolah memiliki infrastruktur dan peralatan komputer yang lengkap dan boleh digunakan oleh para guru dan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menerusi RMK-9, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 2.3 billion bagi meningkatkan kemudahan serta kelengkapan ICT di semua sekolah seluruh negara. Setakat ini kira-kira 97 peratus sekolah sudah mempunyai kelengkapan berkenaan (Utusan Malaysia,Selasa,29 Ogos 2006).

Hal ini juga dibuktikan dengan salah satu usaha kerajaan dalam meringankan beban masyarakat Malaysia, apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia(SKMM) telah memberikan sumbangan komputer  ‘Netbook 1Malaysia’ secara percuma kepada 10,700 pelajar sekolah di Pulau Pinang yang juga merupakan usaha untuk meringankan beban ibu bapa yang berpendapatan rendah untuk membeli komputer. Usaha ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan digital dan ICT dalam kalangan mereka serta Netbook 1 malaysia ini juga dijadikan 1 alat bantuan pengajaran. Oleh yang demikian, kekurangan kemudahan tidaklah dijadikan alasan semata untuk tidak mengapliaksikan ICT dalam bilik darjah.

3.2   Kurang Latihan dan Kemahiran

Seperti yang diketahui, dalam menjadi seorang pendidik, kemahiran pedagogi adalah paling penting untuk mereka menyampaikan ilmu secara berkesan. Transformasi kurikulum telah menuntut guru mengubah pedagogi mengajar mereka dalam bentuk ICT.
Hal ini memberi 1 dimensi baru buat para guru menggunakan ICT secara efektif dalam aktiviti p&p mereka. . Namun begitu, menurut Naim Hj. Ahmad (2000) ramai guru yang tidak mahir dalam penggunaan komputer dan internet.  Grant(1999) menyatakan bahawa perkembangan profesionalisme dalam TMK dapat membantu guru menjadi lebih produktif dan professional seterusnya meningkatkan kualiti profesion tersebut. Oleh yang demikian, pihak kerajaan telah mengadakan Program Latihan Dalam Perkhidmatan(LADAP) untuk guru meningkatkan kualiti profesion mereka serta motivasi dan mutu pengajaran mereka terutama dalam pengaplikasian ICT sewaktu p&p mereka.

              Program latihan dalaman(inhouse training) yang kerap diadakan di sekolah juga dapat mendedahkan kepada guru penggunaan ICT dalam p&p. Seharusnya, aplikasi ICT ini diterapkan dalam p&p untuk guru memvariasikan lagi p&p mereka. Seperti yang dinyatakan NorHashim(1996) penggunaan TMK dalam bidang pendidikan memberi kesan yang besar dan bermakna terhadap kualiti pembelajaran seperti memudahkan penghasilan bahan pengajaran yang lebih efisein. Guru yang kurang mahir ICT boleh mempelajari melalui bahan-bahan Modul Pembelajaran Kendiri(Take Home Package) pembelajaran online(web base) dan lain-lain.  Pihak sekolah juga dapat membantu kekangan kemahiran guru ini dengan menggunakan sistem ICT dalam pengurusan pentadbiran sekolah seperti mengisi markah murid, mengajar secara online, berhubung melalui emel,bengkel aplikasi perisian MS Office, MS Power Point, Patcorn, Emis, SSDM dan Headcount dan penghasilan buku program.

              Tugasan seperti ini akan melatih seterusnya meningkatkan kemahiran guru menggunakan aplikasi ICT dalam pengurusan pendidikan mereka. Guru perlulah mempunyai inisiatif dalam meningkatkan kemahiran ICT mereka agar dapat membuat satu anjakan paradigma yang baru dengan merubah sistem pengajaran yang lama dengan yang baru mengikut arus globalisasi dunia.

              Mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ICT ini agar memudahkan proses penyampaian ilmu dan akhirnya dapat melahirkan murid yang berinovasi dan berdaya saing yang turut mengaplikasikan ICT dalam pengurusan kehidupannya. Perlulah diteliti oleh para guru akan kepentingan pengaplikasian ICT dalam melahirkan murid berdaya saing seperti yang dinyatakan dalan jurnal BTP (2003) bahawa budaya ICT mampu melahirkan insan yang berkualiti apabila ianya menggabungkan kombinasi hubungan sekolah dengan komuniti sekeliling yang terbuka dengan perubahan globalisasi.

3.3  Jurang digital
Selain daripada itu juga, Ab. Rahim Selamat (1992) mengakui wujudnya jurang perbezaan dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di antara kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan Lembah Kelang dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia. Kekurangan talian akses juga menyukarkan guru-guru menjalankan pembelajaran secara ICT kerana capaian internet yang rendah akan memakan masa yang agak lama untuk laman-web tertentu dapat dibuka. Oleh disebabkan itu, sebagai langkah menangani jurang digital ini kerajaan telah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan 1.2 Juta Laptop Percuma Bagi Keluarga Dengan Pendapatan bawah dari RM3000 Dengan Syarat Langgan Jalur Lebar Dengan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Kerajaan turut membekalkan komputer riba kepada murid-murid demi untuk melaksanakan satu rumah satu komputer. Dengan demikian, ia membolehkan masyarakat membudayakan ICT dalam kehidupan mereka. Selain itu juga, Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan mewujudkan video pendidikan melalui web, EduWeb TV, dengan 9,331 sekolah mempunyai akses kepada lapan saluran projek School-Net melalui jalur lebar bagi mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dan bandar.
Makmal komputer juga dibina di 6,633 sekolah. Pusat akses Internet sekolah dengan konsep kafe siber diwujudkan bagi kemudahan murid mencari maklumat di 3,029 sekolah di luar bandar. (utusan Malaysia, 13 Januari 2010). Pemberian netbook 1 malaysia secara percuma oleh SKMM juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam mencapai sasaran 50% penembusan jalur lebar di kalangan isi rumah menjelang akhir tahun 2012.

Berdasarkan usaha-usaha di atas memperlihatkan bahawa kerajaan memandang serius akan pengaplikasian ICT dalam masyarakatnya menjelang tahun 2020. Maka, guru sebagai agen perubahan perlu bertindak dari kini agar tidak menjadikan jurang digital sebagai satu alasan untuk tidak menggunakan ICT dalam p&p mereka malahan bersama-sama membantu Negara melahirkan individu bertaraf dunia dan membangunkan Negara Malaysia sebagai sebuah Negara moden dan global.


3.4  Ancaman siber

Ledakan maklumat yang berlaku disebabkan globalisasi ini mempunyai ancamannya yang tersendiri apabila ia terdedah kepada ancaman siber yang boleh merebak secara cepat dan pantas contohnya virus. Data-data atau perisian yang disimpan mempunyai kebarangkalian diserang virus yang dapat menggugat sistem komputer tersebut. Hal ini ditambah lagi dengan ancaman kecurian data apabila terdapat individu yang tidak bertanggungjawab cuba menggodam dan memecah masuk sistem komputer pihak sekolah untuk tujuan tertentu.


Menyedari akan kepentingan keselamatan siber dan ancamannya yang mampu membawa impak yang besar kepada masyarakat maka kerajaan telah mengambil pelbagai langkah pencegahan antaranya menubuhkan Cyber Security Malaysia sebuah badan koordinasi untuk memantau keselamatan siber kebangsaan. Bagi memastikan keselamatan data dan maklumat dapat dipelihara dalam jangka masa panjang, guru juga perlu pastikan mereka menggunakan perisian yang mempunyai hak cipta serta berlesen agar tidak terdedah dengan ancaman virus siber ini.



Pihak sekolah juga perlu memandang serius akan satu lagi ancaman siber yang sering berlaku iaitu jenayah kolar putih iaitu apabila terdapat staf yang mahir menggunakan komputer memalsukan data-data dan maklumat sekolah terutamanya maklumat kewangan sekolah. Sikap individu yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan tidak jujur ini dapat dielakkan jika pihak sekolah menerapkan pengamalan nilai-nilai murni dalam warga sekolah. Ianya juga dapat dielakkan apabila pihak pentadbir bertindak menyemak segala butiran maklumat sekolah daripada sebarang kecurigaan dan kemusykilan.


3.5  Halangan pihak pentadbiran sekolah

Sesetengah sekolah mempunyai misi dan visi sekolah yang ingin direalisasikan. Contohnya, mereka mempunyai visi meningkatkan prestasi murid dengan menghabiskan sukatan pelajaran dalam jangka masa yang telah ditetapkan. Seperti yang diketahui, penggunaan internet dengan melayari web-web ilmiah memakan masa yang panjang ditambah pula jika kemudahan wi-fi mereka agak lemah yang merencatkan perjalanan pengajaran pada hari tersebut.
Penggunaan peralatan seperti LCD mengambil masa lama bagi guru yang kurang berkemahiran untuk mempersiapkan peralatan mereka terutama bagi sekolah yang tidak mempunyai perkhidmatan juruteknik komputer. Bukan itu sahaja, malahan ada guru berpendapat bahawa masa untuk menyediakan bahan pengajaran menggunakan komputer adalah tidak mencukupi kerana telah dibebani dengan tugas lain yang telah dipertanggungjawabkan di samping kemahiran dan pengetahuan yang terhad. Kos penyelenggaraan disebabkan sumber kewangan sekolah yang terhad.


Seharusnya, pihak pentadbir perlu memandang berat akan perihal ICT ini kerana pembelajaran ICT ini merupakan pembelajaran berterusan yang boleh digunakan murid hingga keluar dari kawasan sekolah kelak. Satu transformasi perlu dibuat di sekolah supaya penekanan ICT dalam p&p dapat diterapkan kepada para guru apabila pihak pentadbir sekolah menjadi pemimpin perubahan dan menggalakkan guru-guru menjadi model pengguna ICT yang bijak untuk dicontohi oleh warga sekolah. Perancangan jangka panjang perlu diteliti agar penggunaan ICT ini dapat dioptimumkan dan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah.



4.0 Usaha dan Langkah meningkatkan penguasaan ICT Guru

Berdasarkan isu ‘meningkatkan penguasaan ICT Guru pada artikel ini, saya juga berpendapat bahawa tahap kemahiran pendidik dan guru di sekolah kini masih lagi kurang mahir menggunakan ICT dalam p&p mereka. Hal ini dikukuhkan lagi dengan kajian ilmiah yang telah dijalankan iaitu penggunaan ICT dalam kalangan guru di sekolah menunjukkan tahap yang rendah (sebagai contoh Ashinida et al, 2004; Nor Azilah & Mona, 2004; Robiah et al, 2003; Mohd.Jasmy et al, 2003; Siti Aishah et al, 2002; Abd. Rahman, 2000; Bahagian Teknologi Pendidikan, 1999). Seperti yang dinyatakan dalam artikel tersebut Intel telah membuat satu program usahasama bersama institut perguruan dalam usaha melahirkan guru yang berinovasi dan mempunyai kemahiran ICT. Kepesatan teknologi kini telah memberi pelbagai impak positif dalam dunia pendidikan namun hakikatnya pengaplikasian ICT ini dalam p&p masih lagi kurang memberangsangkan.


Kerajaan Malaysia sebenarnya telah mengambil pelbagai inisiatif dalam usaha mempertingkatkan kemahiran ICT guru di Negara ini. Bukan itu sahaja, kemahiran ICT yang difokuskan malahan kualiti modal insan bertaraf dunia yang ingin dilahirkan mampu berdaya saing kelak dalam dunia globalisasi. Dasar-dasar yang telah dibuat oleh kerajaan seperti merupakan satu cabaran buat pendidik dalam mengintegrasikan ICT dalam p&p mereka. Transformasi kurikulum yang dibuat oleh kerajaan bertujuan merealisasikan wawasan 2020 dalam menjadi sebuah Negara maju mengikut acuan yang tersendiri.


Yong (1989) berpendapat bahawa walaupun pelbagai usaha telah dijalankan untuk memajukan proses pengajaran guru, sekolah masih lagi cenderung untuk menghasilkan para murid yang berorientasikan peperiksaan.

Perubahan paradigma yang baru harus dibuat oleh guru apabila kerajaan telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah(KSSR) yang diubah daripada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah(KBSR) pada tahun 2011 bertujuan memastikan sistem pelajaran Negara standing dengan piawaian global. Pembaharuan yang dibuat dalam kurikulum ini adalah bagi menerapkan elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, teknologi maklumat dan komunikasi dalam p&p. Guru perlu memahami aspirasi Negara dengan adanya KSSR ini dapat membantu Negara memperkasakan modal insan Negara bertaraf dunia. Kurikulum ini telah memperkenalkan subjek baru mulai tahun 2013 kepada murid tahun 1 iaitu subjek Dunia Sains dan Teknologi(DST) bagi memfokuskan dan menerapkan elemen ICT kepada murid sejak di bangku sekolah lagi di mana bertepatan dengan objektif transformasi kurikulum sekolah dalam meningkatkan kebolehan murid dalam bidang ICT. Ianya juga adalah gabungan elemen sains, reka bentuk dan teknologi yang berbentuk hands –on bagi memupuk kemahiran berfikir serta sikap saintifik dan nilai murni murid.

Seperti yang dinayatakan di dalam artikel karya Zahri Ramlan(2009) yang bertajuk ’Transformasi budaya ICT di Sekolah Lahir Insan Kompeten’ apabila penggunaan internet dalam kalangan guru tinggi ianya dapat menjana pengajaran secara global dengan melahirkan guru yang berminda kelas dunia.

Cabaran ke-6 dalam wawasan 2020 jelas menunjukkan kerajaan serius memberikan penekanan kepada masyarakat menerapkan ICT dalam kehidupan mereka iaitu cabaran dalam  mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja pengguna teknologi tinggi tetapi juga menyumbangkan kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan. Hal ini adalah bertepatan dengan usaha kerajaan mewujudkan sekolah bestari sebagai platform melahirkan generasi yang lebih berdaya saing. Kreatif dan juga inovatif serta sekolah yang menggunakan multimedia sebagai medium utama pembelajarannya merupakan matlamat sekolah bestari ini.

Oleh yang demikian, guru yang ditempatkan di sekolah ini perlu memastikan mereka mempunyai kemahiran ICT yang tinggi agar persediaan yang cukup dapat membantu mereka mengintegrasikan ICT dalam p&p mereka seterusnya dapat menarik tumpuan dan minat murid.

Menurut Ismail Zin (2002), menyatakan bahawa dalam konteks pendidikan, teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran.  Oleh yang demkian cabaran pendidikan buat guru bagaimana untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka daripada perspektif global dengan merancang p&p mereka berdasarkan ICT dengan lebih terancang dan berkesan. Implementasi ICT di sekolah merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Pihak sekolah boleh menggunakan rangkaian elektronik seperti LAN, WLAN atau internet bagi memudahkan penyampaian isi pelajaran serta memudahkan interaksi dengan semua pihak dalam satu masa yang sama.

            Guru digalakkan mengintegrasikan ICT pada setiap kesempatan p&p mereka sebagai contoh memberikan tugasan dalam bentuk emel, ataupun perisian ICT yang lain. Selain itu, guru mesti mampu mewujudkan suasana di mana pelajar lebih seronok belajar dengan pengaplikasian p&p ini atau dikenali dengan  Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer (PPBK). Tugasan yang diberikan guru boleh digunakan murid melalui enjin carian ‘Google’ atau ‘Yahoo’ untuk mendapatkan maklumat dengan lebih mudah dan pantas.

 Pembelajaran elektronik atau dikenali Web based learning atau internet based learning merupakan contoh pembelajaran yang dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar.Pembelajaran seperti ini akan memudahkan untuk ‘discussion group’  dibuat serta membolehkan bimbingan dijalankan dalam talian ‘on line’ (Learnframe, 2001). Pembelajaran seperti ini akan melatih murid untuk lebih berdikari dan lebih aktif kerana mereka belajar mencari maklumat sendiri dengan hasil daya usaha dan inisiatif sendiri. Guru juga boleh merekodkan bukti pembelajaran secara online ini di dalam talian ataupun disimpan di dalam thumb drive secara soft copy. Bagi mengelakkan thumb drive tersebut diserang virus, guru boleh membuat salinan secara ‘hard copy’ dalam bentuk helaian kertas sebagai bukti pengaplikasian ICT dalam p&p mereka.

Penguasaan kemahiran ICT ini dapat dilihat melalui kreativiti dan inovasi murid terhadap bidang teknologi ini. Hal ini kerana guru akan mendidik murid untuk mengoptimumkan penggunaan ICT di sekitar mereka. Murid lebih bebas mencari maklumat mengikut keperluan, tahap pencapaian dan pengetahuan mereka.

Statistik memperlihatkan jumlah golongan muda yang terjebak dalam kancah sosial dari tahun ke tahun meningkat seperti kes buang bayi (1.13 peratus), menonton bahan lucah (40 peratus), judi 16 peratus, merokok 70 peratus, penyalahgunaan dadah 14 peratus, minuman keras 25 peratus dan seks bebas peratus (Utusan Malaysia, 23 Julai 2003). Perlakuan sosial yang negatif tidak seharusnya punca ke atas kelemahan masyarakat untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai  murni kemanusiaan serta agama. Sehubungan dengan itu, guru dipertanggungjawabkan sebagai agen perubahan dan pembimbing murid ke arah hidup yang lebih positif dan dapat mengawal tingkah laku sosial murid di sekolah.

Ledakan globalisasi ini telah memberi ruang kepda murid untuk melayari laman web lucah, laman web tidak sihat tanpa sekatan. Hal ini berlaku daripada pelbagai faktor seperti pengaruh rakan sebaya, ibu bapa dan media massa.
Oleh yang demkian, perkara ini dijadikan cabaran buat para guru dalam membantu murid di sekolah dengan membentuk satu peribadi, perwatakan serta jati diri yang mulia. Mereka juga perlu menjadi pemimpin yang mampu mendorong murid menjalankan sesuatu tindakan dengan betul dan berkesan seperti fasilitator. Seharusnya, apabila guru ingin membentuk satu jati diri dalam diri murid, guru perlu melihat kepada diri mereka terlebih dahulu. Mereka seharusnya menjadi role model kepada murid dengan memperlihatkan contoh peribadi dan sahsiah yang baik serta terpuji. Hal ini kerana guru akan dijadikan ikutan oleh murid dalam pelbagai aspek kerana mereka melihat serta menghormati pendidik mereka dan ingin menjadi seperti guru mereka.

Guru kini kurang mengaplikasikan ICT dalam p&p mereka kerana kurangnya pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang teknologi ini. Menurut Abd. Rahman,(2000) guru kurang menggunakan teknologi di dalam bilik darjah disebabkan kurang pengetahuan dan kemahiran menggunakan ICT di bilik darjah. Seperti yang dinyatakan dalam artikel ini, program telah dijalankan dengan pihak institut perguruan yang terdiri daripada guru-guru pelatih yang dipercayai mempunyai kemahiran ICT yang lebih baik daripada guru-guru yang telah berkhidmat lama. Oleh sebab demikian, sekolah kini ICT kerap diaplikasikan oleh guru-guru junior dan bukan guru senior kerana mereka mempunyai kelebihan dari aspek pedagogi akan tetapi kurang kemahiran dan pengetahuan dari aspek pengaplikasian ICT dalam p&p mereka. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan penggunaan ICT ini dan seterusnya meningkatkan kualiti profesion perguruan itu sendiri. Adapatsi ICT ini merupakan satu media pengajaran yang boleh digunakan guru untuk memvariasikan pengajaran mereka. Dalam strategi pengajaran dan pembelajaran, media teknologi digunakan sebagai satu wahana untuk mengoptimumkan hasil pembelajaran. Antara contoh media teknologi yang digunakan ialah televisyen, radio, video, perisian komputer, perisian kursus, dan internet.

Menurut Rogers (2003) antara faktor yang menyebabkan individu mudah menerima sesuatu inovasi ialah keserasian serta kemiripan inovasi tersebut dengan nilai, pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada, dan sesuai dengan keperluan individu tersebut. Dalam konteks ini, guru sudah sering menggunakan aplikasi ini bagi kerja perkeranian dan pentadbiran serta penyediaan bahan berkaitan pengajaran dan pembelajaran seperti kertas ujian, peperiksaan dan nota pelajaran.

Kebanyakan guru mahir menggunakan sesetengah perisian ICT dalam kehidupan mereka. Contohnya perisian Microsft Excel dan Microsoft Word yang digunakan guru untuk menaip nama dan markah murid. Pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh mereka masih lagi di bawah tahap kurang memuaskan kerana mereka sudah boleh menggunakan perisian yang sama untuk melaksanakan p&p mereka. Contohnya, mereka menggunakan Microsoft Power Point untuk memberi peluang murid menggunakan perisian tersebut dalam persembahan kumpulan mahupun individu. Di sinilah peranan guru mengajar kemahiran hyperlink dan unsur multimedia yang lain seperti video, animasi, teks,warna dan grafik bagi menyemai nilai pendidikan yang positif seperti kreatif dan inovatif.

 Pelajaran dapat diceriakan lagi dengan menggunakan cakera padart(CD-ROM) yang telah disediakan oleh Kementerian Peljaran sebgau modul pembelajaran ICT. Aktiviti pembelajaran seperti ini bukan sahaja menarik minat murid malahan boleh mengekalkan tumpuan murid di samping meningkatkan kemahiran kolaboratif serta interpersonal mereka bersama guru dan rakan. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) merujuk kepada kebolehan guru mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam pengajarannya serta kemampuan pelajar mengakses dan belajar daripada bahan yang disediakan. Kemampuan guru mengintegrasikan ICT ini dinilai apabila dapat melahirkan generasi yang celik komputer.

Mereka perlu memahami terlebih dahulu agenda Negara dan aplikasikannya dengan dinamik dan progresif. Tanggungjawab ini haruslah dilaksanakan dengan amanah serta rasa kebertanggungjawaban oleh para guru. Mengikut pandangan Islam,  seorang muslim perlu menjalankan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai ibadah dan bertakwa kepada Allah S.W.T yang menuntut umat islam bersifat amanah, mempunyai akauntabiliti dan integriti sepanjang melaksanakan tugas mereka. Sehubungan dengan itu, guru yang dianggap sebagai muallim ini perlulah mempunyai kesungguhan dan iktizam yang kuat dalam membantu murid dan Negara yang akhirnya dapat melahirkan anak bangsa yang dapat memacu Negara ke arah globalisasi dunia.


4.0  Kesimpulan
Teknologi dan Negara maju tidak boleh dipisahkan. Semakin maju Malaysia maka semakin banyak teknologi yang akan diperbaharui dan di adaptasikan dalam kehidupan kita termasuklah bidang profesion ini. Terdapat pelbagai impak positif dan manfaat pengaplikasian ICT guru ini untuk diri sendiri, murid, masyarakat dan Negara. Guru yang menguasai kemahiran ICT ini kelak dijangka akan memaksimakan kelebihan mereka untuk menjadikan pengajaran mereka lebih berkesan dan berkualiti seterusnya dapat membantu Negara mencapai status Negara maju pada tahun 2020. Kecanggihan dunia ledakan maklumat ini tidak dijadikan alasan malahan cabaran kepada guru dalam melahirkan modal insan yang cemerlang dari segi kreativiti, inovasi dan mempunyai acuan sendiri dalam menempuh dunia globalisasi. Sikap kebertanggungjawab guru terhadap amanah yang diberikan dapat memberi peluang kepada guru untuk membuktikan keupayaan dan kebolehan mereka menghadapi cabaran ICT ini bersesuaian dengan pembangunan dan zaman kemodenan yang sedang dilalui sekarang dan akan datang. Penggunaan teknologi mempunyai potensi dalam menjadikan suasana p&p lebih menarik dan bermakna. Maka, halangan dan cabaran dalam mengharungi arus globalisasi ini tidak mematahkan semangat guru untuk mengaplikasikannya sepanjang p&p mereka kerana guru merupakan penjana transformasi Negara. Gurulah yang akan menentukan kecemerlangan masa hadapan.

 Pelbagai langkah persediaan yang komprehensif boleh diambil oleh semua pendidik dalam menghadapi isu pembudayaan ICT dalam kalangan guru ini. Ianya bergantung kepada kesedaran guru itu sendiri dalam meningkatkan kemahiran serta pengetahuan ICT mereka.  Persediaan yang mantap dan baik bagi mengatasi cabaran yang wujud daripada fenomena globalisasi yang menuntut guru mengaplikasikan ICT dalam pengajaran mereka ini akan dapat menyediakan pendidik ke arah profesion perguruan yang berprestij. Acuan pendidikan yang tepat dan bersesuaian yang dilaksanakan oleh barisan pendidik dalam mengharungi cabaran ini amat penting kerana ianya dapat menentukan hala tuju pembinaan tamadun manusia terutamanya masyarakat Negara ini. 




Refleksi
Alhamdulillah, akhirnya saya telah berjaya menyiapkan tugasan Asas Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru(EDU 3108) pada tarikh yang telah ditetapkan. Pertamanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pensyarah pembimbing bagi subjek ini iaitu En. Ranjit Singh kerana telah banyak memberikan tunjuk ajar dan panduan sepanjang perlaksanaan tugasan ini.

Saya telah menjadikan laman web Kementerian Pelajaran sebagai rujukan utama saya berdasarkan artikel keguruan yang telah dipilih oleh saya dalam laman web bernama online untuk dibincangkan iaitu laman web utusan.com bagi tajuk ‘Meningkatkan Penguasaan ICT Guru’ yang bertarikh 13 Januari 2011. Sepanjang penulisan saya menghasilkan tugasan ini telah banyak input serta pengalaman baru yang telah saya perolehi untuk dijadikan panduan kepada saya kelak. Guru merupakan penjana transformasi Negara. Oleh yang demikian segala perubahan dan tranformasi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan perlulah guru menjadi tonggak perubahannya dalam membantu Negara merealisasikan hasratnya. Dengan perlaksanaan tugasan ini memberikan saya satu pengetahuan dan kemahiran baru bahawa sebagai seorang guru saya perlulah melengkapkan diri dengan pengetahuan ICT yang tinggi agar saya kelak dapat melahirkan modal insan bertaraf dunia yang mampu berdaya saing dengan Negara luar di alaf baru 21 ini. Sebagai seorang guru juga, saya bertanggungjawab memvariasikan pembelajaran dan pengajaran saya supaya menjadi lebih menarik dan berkesan. Pengaplikasian ICT ini merupakan salah satu medium pengajaran yang amat baik yang perlu saya laksanakan di dalam p&p saya supaya dapat menarik tumpuan murid seterusnya dapat melahirkan murid yang celik IT.

Bukan berkaitan isu ini sahaja, malahan saya berpeluang melihat isu-isu keguruan yang sering menjadi perbualan dan masalah dalam profesion ini. Profesion perguruan bukanlah satu pekerjaan yang perlu dipandang enteng kerana profesion inilah suatu yang murni yang menjadi agen perubahan masyarakat daripada kosong kepada berisi dan daripada negatif kepada positif. Amanah serta tanggungjawab yang diberikan perlu dilaksanakan dengan telus dan integriti.

Melihat kepada pelbagai usaha yang telah kerajaan laksanakan bagi membantu pendidik menggunakan ICT dalam p&p membuat saya sedar bahawa terdapat pelbagai cara dan jalan yang boleh saya usahakan bagi memastikan kemahiran dan pengetahuan ICT saya meningkat. Oleh yang demikian, kelak, saya haruslah menyahut segala cabaran sebagai medium untuk saya tingkatkan lagi mutu profesion perguruan saya dan bukanlah sebagai ancaman yang hanya akan menjatuhkan semangat dan motivasi saya dalam mendidik anak bangsa. Pelbagai cara yang boleh dimanfaatkan agar semua ilmu dan pengalaman ICT boleh dipelajari dan diamalkan sepanjang p&p. semangat dan azam yang tinggi adalah sangat penting bagi memastikan saya juga terus mengaplikasikan pengintegrasian ICT dalam p&p.

Melalui tugasan 2 iaitu secara berkumpulan dalam menghasilkan blog laman ilmu ini, saya telah bersama-sama Nur Atirah Azlan dan Noor Safini Zulkefli menghasilkan blog yang diberikan nama ‘Dunia Pendidikan Guru’ yang boleh dilayari dalam www.ceriteraguruipg.blogspot.com. Tugasan ini telah meningkatkan lagi kemahiran ICT saya dalam menghasilkan sebuah blog yang interaktif dan menarik. Kemahiran membina blog ini pada mulanya agak sukar buat saya kerana saya tidak mempunyai pengalaman menghasilkan blog ilmiah. Oleh yang demikian, penghasilan blog merupakan kemahiran baru buat saya dan ianya juga sebenarnya merupakan salah satu teknik pembelajaran alam maya yang baik dan menarik. Guru dan murid boleh berhubung serta berinteraksi tanpa bersemuka yang menggunakan internet dan komputer sebagai medium. Kelak, saya akan aplikasikan kaedah pembelajaran e-learning ini agar kemahiran penggunaan ICT dalam kalangan mereka dapat dipertingkatkan dan membantu meningkatkan kualiti pembelajaran saya serta memudahkan lagi pengaksesan maklumat dalam subjek pembelajaran.

Konklusinya, saya merasakan tugasan ini telah memberikan impak yang besar dalam diri saya dalam mengharungi perjalanan sebagai seorang pendidik. Nilai-nilai pengintegrasian ICT dalam p&p saya kelak perlulah diaplikasikan seoptimum mungkin agar dapat menghasilkan output yang baik dalam melahirkan murid yang berinovasi alaf 21. Segala input dan pengalaman yang saya perolehi ini akan saya aplikasikan kelak serta menjadi panduan dan rujukan dalam dunia profesion saya yang sebenar iaitu seorang pendidik. 




RUJUKAN
Sumber buku
Ab. Rahim Selamat. (1992). Teknologi Sistem Pengajaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Abd. Latif Haji Gapor.  (2006) Domain Penilaian dalam Teknologi pendidikan. Perak :
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Ismail Zin( 2002) Aplikasi Multimedia dalam pengajaran. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn.Bhd 
Jamalluddin harun, Zaidatun Tasir. (2005). Multimedia Konsep dan Praktis. Selangor :
Venton Publishing(M) Sdn.Bhd.
Kamus Dewan, (2005). Edisi keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala  Lumpur
Naim Hj Ahmad. (2000). Teknologi Pendidikan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Sufean Hussin, Shahril@Charil Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md. Som,
Alina Ranee(2005) Pentadbiran dalam pembangunan Pendidikan. Pahang : PTS
Profesionnal Publishing Sdn.Bhd,
Syed Ismail bin Syed Mustapa, Ahmad Subki bin Miskon( 2010) Guru dan Cabaran
semasa. Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd
Tan Yao Sua. (2010). Isu Bahasa, Etnik dan Pembinaan Negara Bangsa dalam Sistem
Pendidikan Malaysia.  Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia Press


Sumber tesis
Adenan Husin.(1998). Faktor yang mempengaruhi sikap Guru Terhadap Penggunaan
Komputer,  Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. .
Hussien Ahmad(2001) Globalisasi dan Cabaran Pendiidkan di Malaysia, Universiti
Malaya
Siti Daud(2004). Globalisasi dan Negara Pembangunan, Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi,Selangor

Sumber jurnal
Bahagian teknologi pendidikan KPM. (2003). Jurnal BTP. Pembestarian Sekolah Dalam
era Globalisasi : Satu Pemikiran Baru dalam Sistem Pendidikan Malaysia, (5) :
Universiti Teknologi Mara(UTM). (1999). Jurnal Teknologi. Computer Self-Efficacy in
Higher Education : A Case Study of Vocational Education Student-Teacher : 29 –
40
Anita Woolfolk Hoy(2009). Theory Into Practice. Classroom Assesment ang Grading to
Assure Mastery , 48(1) : 28 – 35

Artikel dalam majalah
Ralph Schubele(2010, May) Education For All. Teacher muka surat 16- 19
 Zahri Ramlan. (2009, Februari) Perkongsian Pintar Capai Objektif PTV. Pendidik,  
muka surat 60 – 62
Zahri Ramlan. (2009, Februari) Transformasi Budaya ICT di Sekolah Lahir Insan
Kompeten. Pendidik,  muka surat 63 – 64

Sumber internet
http://www.berita harian.com. Diakses pada 10 ogos 2012
http://www.mampu.gov.my.library/. Diakses pada 17 Ogos 2012.
http://www.myais.fsktm.um.edu.my/globalisasi. Di akses pada 14 ogos 2012
ogos 2012
http://www.pengajian-ipg.blogspot.com. Di akses pada 24 ogos 2012.
http://www.slideshare.net/globalisasi-cabaran-pendidikan. Di akses pada 8 ogos 2012

Utusan Malaysia 18 Ogos (2005). Stress guru membimbangkan akibat banyak

perubahan dan bebanan tugas yang keterlaluan – NUTP. Diakses pada 18 ogos

2012

Utusan Malaysia 23 julai (2003). Mengatasi Gejala Sosial. http://www.utusan .com.my.
diakses pada 13 Ogos 2012  
Utusan Malaysia,Selasa,29 Ogos( 2006). Demi Kesejahteraan Rakyat.
http://www.utusan.com.my. Diakses pada 15 Ogos 2012.
Utusan Malaysia, 13 januari (2010). Penguasaan Guru Dalam ICT diutamakan-TPM.
http://www.utusan.com.my. Diakses pada 14 ogos 2012 



untuk maklumat lanjut berkaitan tajuk artikel ini, boleh rujuk di link di bawah ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0103&pg=pe_01.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&y=2011


No comments:

Post a Comment